Kelmarin, aku membaca ruangan kesihatan di utusan.com.my. Secara tak sengaja, sebelum ni aku tak pernah pun tergerak nak membaca ruangan tu. Apa yang buat aku tertarik nak baca, adalah kerana tajuk artikel tu berkaitan dengan recurrent miscarriage , atau terjemahannya ‘keguguran berulang’ dan memikirkan benda tu adalah berkaitan dengan topik exam yang tak sampai beberapa hari lagi, aku pun mula membaca.
Apa yang aku baca sesungguhnya membuatkan aku tertekan. Sebabnya; sebegitu banyak perkataan-perkataan Inggeris yang dimelayukan, dan menjadi sangat buruk. Padahalnya, perkataan Inggeris tersebut boleh digantikan dengan bahasa Melayu. Gah sangatkah bila artikel berbunyi Inggeris, sedangkan ada perkataan dalam bahasa melayu yang lebih indah, menarik dan mudah difahami. Contohnya; penulis menggunakan perkataan ‘infeksi’ yang diambil dari bahasa inggeris ‘infection‘; padahal adalah lebih mudah menggunakan perkataan jangkitan, yang aku
percaya adalah lebih mudah difahami. Tujuan memaparkan artikel sebegitu adalah untuk menyampaikan maklumat, dan menurut pemikiran aku yang masih belum habis belajar ini, untuk memastikan penyampaian maklumat yang berkesan, apa yang kita cuba sampaikan mestilah boleh difahami oleh pihak yang membaca, jika tidak, tiadalah gunanya proses penyampaian maklumat tersebut. Betul tak? Lagipun, tahap pelajaran pembaca adalah berbeza-beza jadi adalah lebih baik menggunakan bahasa yang boleh difahami oleh semua peringkat masyarakat. Setuju?
Satu lagi; ini adalah sangat tidak boleh aku terima - dalam artikel tersebut ada menceritakan tentang penggunaan cecair saline; iaitu larutan garam yang digunakan untuk menggantikan cecair dalam badan. Perkataan yang digunakan oleh penulis - cecair salina. Salina ok. Kesian salina. Apalah salahnya menggunakan perkataan saline yang diletakkan di dalam koma atau dalam huruf italic untuk menunjukkan bahawa perkataan tersebut adalah bukan dari bahasa melayu. Tidak perlulah memelayukan semua perkataan Inggeris tersebut. Kalau hendak diikutkan, banyak perkataan yang digunakan dalam perubatan adalah dari bahasa Greek atau pun Latin, bukan Inggeris!!
Aku akui memang kerja-kerja menterjemah bahasa adalah tidak mudah, kerana aku pernah mencuba. Memandangkan sekarang bahasa Melayu yang aku gunakan adalah terhad kepada bahasa percakapan, jadi kebolehan aku untuk menulis dalam bahasa melayu adalah terhad, dan kadang-kadang aku rasa aku lebih mudah menyampaikan apa yang aku rasa dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Tetapi sebagai seorang wartawan yang bekerja di akhbar Melayu, ini tidak sepatutnya menjadi masalah, malah perlu dianggap sebagai satu cabaran, supaya konsep media sebagai penyampai maklumat dan bahan untuk membantu kerajaan memperkasakan bahasa Melayu dapat dipenuhi. Mungkin wartawan tersebut tidak begitu rajin untuk menterjemahkan bahan yang diperolehi??
Satu lagi, apakah kaitan stres cetus serangan jantung dengan apa yang sedang dilalui oleh Mawi sekarang ini? (penggunaan perkataan ’stres’ di situ yang boleh digantikan dengan ‘tekanan’). Kasihan Mawi, umur baru awal dua puluhan, tetapi media sudah risaukan dia tidak mampu menangani tekanan hingga boleh menyebabkan dia mendapat serangan jantung atau ‘infarksi miokardium’ (aku rasa penggunaan myocardial infarction adalah lebih bersesuaian kerana memudahkan pembaca mencari bahan bacaan sampingan di dalam bahasa inggeris untuk menambahkan kefahaman terhadap penyakit tersebut kerana tidak banyak bahan bacaan dalam bahasa melayu tentang perkara itu). Mungkin nama Mawi dimasukkan di situ untuk menarik pembaca. Tetapi, tidak wahai penulis. Aku sebagai pembaca tidak membaca artikel itu kerana nama Mawi ada di situ. Ia hanya membuatkan aku berasa lebih jelik kerana kau terpaksa menggunakan populariti murahan sebegitu untuk menarik minat pembaca. Kelakar ok. Aku tidak nampak kaitannya. Adalah lebih baik jika kau membincangkan tentang cara hidup masyarakat sekarang yang sibuk dengan kerjaya dan tiada masa untuk beriadah hingga boleh menyebabkan tekanan, dan meningkatkan risiko serangan jantung.
thehealthinspector: Ok. Dah penat membebel. Mari belajar dengan bersungguh-sungguh. Doakan aku ya rakan-rakan.